Kemunculan Album Naqia

Wednesday, June 17, 2009

KUALA LUMPUR: Alhamdulillah, setelah hampir tiga tahun berusaha akhirnya album nasyid Naqia akan berada di pasaran tidak lama lagi, insyaAllah. Untuk pengetahuan semua, album nasyid ini merupakan satu projek usahasama antara Tahfiz Darul Furqan bersama Naqia Production (M) Sdn Bhd. Mereka yang terlibat dalam menjayakan projek ini antaranya ialah pelajar-pelajar Tahfiz Darul Furqan yang telah dipilih sebagai penasyid.

Album ini juga turut melibatkan alunan bacaan al-Quran dan doa oleh Adik Muhammad (mu’azzin kecil TV9). Album yang bakal berada di pasaran ini turut memuatkan bacaan deklamasi sajak oleh Pak Dinie Juri. Ia juga mengandungi lima buah nasyid yang diselangi dengan bacaan al-Quran beserta terjemahan dan sajak yang pastinya akan menyentuh jiwa bagi pendengar yang benar-benar menghayati mesej yang disampaikan. Tajuk-tajuk nasyid tersebut adalah; 1, Zikir Iftitah; 2, Ya Ummu; 3, Kau Permata (Guruku); 4, Rintihan; 5, Nasyid Khatam al-Quran.

Seterusnya pihak Tahfiz Darul Furqan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pengarah, Naqia Production (M) Sdn Bhd, Dato’ Prof. Dr Hjh Zamila Hj Husin kerana memberi sepenuh kepercayaan kepada kami untuk mencungkil bakat yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t ini.

Kepada mereka yang berminat untuk memiliki album ini atau ingin menjemput kami untuk mengadakan persembahan bolehlah terus menghubungi kami di talian : 013-231 8675 (Ust. Izzat).

Akhil: Jadilah masyarakat yang mendekati dan bukan penghukum

Sunday, June 7, 2009

Ustaz Akil minta masyarakat tidak terus menghukumnya atas keruntuhan rumah tangganya. Foto THE STAR Oleh: CHAN TAK KONG.

SHAH ALAM: "Saya cuba tamatkan kemelut dengan cara terbaik dan bertawakal. Apa pun saya dengan kehidupan saya. Orang lain kena hormati.

"Tolong jadi masyarakat yang sentiasa mendekati dan bukan penghukum," ujar penyanyi dan pendakwah Ustaz Akhil Hayy ketika ditemui di Malam Kebudayaan Islam "Wacana Muzikal" di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam.

Begitulah luahan Akhil mengenai kontroversi rumahtangganya sekarang.

Tambahnya, "Jika mengikut kehendak, ada kehendak manusia yang nak macam ni dan macam tu.

"Kita tak boleh memuaskan hati semua orang kerana kita bukan malaikat.

"Saya harap orang lain memberi ruang kepada orang yang ada masalah."

Akil bertawakal kepada Allah dalam menempuhi dugaan yang melanda dirinya

Akhil yang pada mulanya enggan ditemubual dan berkata 'lepas mahkamah' bijak menjawab setiap soalan yang dikemukakan.

Ditanya apa yang dia akan lakukan untuk menjernihkan hubungan rumahtangganya, Akhil berkata: 'Saya tak kan komen apa-apa pasal rumahtangga.'

Hakikatnya, hidup mesti diteruskan dan Akhil hanya menerima setiap kritikan orang ramai dengan senyuman.

Menyentuh tentang kerjayanya, Akhil berkata dia sedang menyiapkan album baru sejak tiga bulan lalu.

"Saya selalu menghabiskan masa di studio untuk menyiapkan album dan menghabiskan rakaman program Cafe Akhil Hayy musim kedua yang hanya tinggal satu babak.

"Rakaman program itu dilakukan di sekitar Shah Alam, Bukit Jelutong dan merata-rata tempat yang dramatik," ujarnya yang selesa bercakap mengenai kerjaya berbanding isu tak balik rumah dan keluarga.

Bercerita mengenai album yang dijangka akan diterbitkan dalam tahun ini, Akhil berkata sebanyak empat buah lagu berentak universal telah disiapkan.

Akil turut menyampaikan lagu dalam satu konsert khas yang diadakan sempena Muktamar PAS ke-55 di Shah Alam.

"Saya juga telah berbincang untuk berduet dengan sahabat seperti Mawi, Ramli Sarip dan M. Nasir."Saya tidak terfikir untuk berduet dengan artis wanita," ujarnya yang menyanyikan sebuah lagu baru semasa persembahan sempena Muktamar PAS ke-55 semalam.

Kata Akhil, lagu baru berjudul Menangis itu mengisahkan tentang tangisan 'peribadi' dan 'umum' kerana apa yang berlaku di alam ini.

"Masyarakat menangis..ada yang menangis kerana stadium runtuh, pasaraya runtuh dan keluarga yang hampir runtuh," tuturnya.

Ketika sesi temubual bersama pengerusi majlis, Zaidi Rustam (Wildani), Akhil menjawab 'album di mahkamah' sebelum menyebut dalam nada sinis 'siapa ada masalah keluarga, rujuk-rujuklah media' sambil tergelak.

Akhil juga memberitahu yang lagu dalam album terbarunya diadaptasi dari aura yang tidak kondusif.

"Macamana keadaan seseorang itu diuji tetapi hasilnya ibarat orang yang dibaling batu-bata dan ambil untuk bina istana," ucapnya dengan penuh makna.

Maiza titipkan nasihat untuk Akhil dan Waheeda

Tuesday, May 26, 2009

Maizawati pandai mengawal gelodak dalam perasaannya. -foto mStar.

JIKA diselam wajah Maizawati Zainal, 33, isteri kepada penyanyi Ustaz Akhil Hayy, 40, ia seolah-olah menyembunyikan perasaan sedihnya disebalik ketenangan yang dipamerkannya.

Baginya, semua tindakannya adalah betul belaka lantas merasakan tidak perlulah dia menunjukkan apa-apa reaksi.

Ditanya pula kepada siapa tempat dia meluahkan perasaan dan mengadu sekarang, wanita yang mesra dengan panggilan Maiza ini enggan menjawabnya kerana dirasakan soalan itu berbaur peribadi.

Namun, mujurlah empat orang anak Maiza bersama Akhil beserta dua orang anaknya dengan hasil perkahwinan pertama dahulu memberikan sokongan yang padu kepadanya apabila dia memfailkan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada awal bulan lalu.

Kes itu akan dibicarakan pada 2 Jun ini, pukul 9 pagi.

“Setelah mereka mengetahui tentang permohonan cerai ini, mereka lebih matang dan boleh menerima keputusan saya kerana itu merupakan salah satu perkara terbaik buat mereka.

“Jadi, tiada apa-apa masalah kerana dalam hidup ini semuanya termasuk ajal dan maut berada di tangan Allah. Mungkin ini ketentuanNya dan jodoh saya hanya sampai di sini.

“Kadangkala kita tak sangka hal ini akan berlaku. Jadi, kita harus menerimanya dengan hati yang terbuka.

Maiza mengaku yang dia masih dapat menerima Waheeda dan Akhil sebagai kawan seandainya mereka bernikah sekalipun.

“Dengan sesiapa sahaja boleh berlaku tak kira orang itu raja ke atau sultan, perkara ini kita tidak boleh elakkan. Mungkin selepas ini Allah telah tetapkan ada yang terbaik untuk kita,” luah Maiza sejurus selepas ditemubual dalam program Wanita Hari Ini (WHI) di TV3, semalam.

Ditanya tentang reaksi ibu dan keluarga mertuanya, Maiza menyifatkan mereka sangat profesional.

“Kami tidak mengaitkan dan menuding jari antara kedua-dua belah pihak.

“Mereka juga tidak pernah mencampuri urusan rumahtangga keluarga saya sehingga sekarang,” kata Maiza yang enggan memberikan komen lanjut melibatkan keluarga mertuanya.

Maiza juga mendapat maklumbalas yang baik daripada jiran tetangga yang berkata: “Semua orang menyokong saya..”

Menurut Maiza, dia merupakan seorang surirumah yang mendirikan rumahtangga dengan Akhil sejak 13 tahun lalu.

Selepas menjalani kehidupan secara solo selepas ini, Maiza berkata dia mungkin akan kembali bekerja untuk menyara kehidupannya selepas ini.

“Insya-Allah, jika ada kesempatan saya akan bekerja,”

“Sekarang, saya tinggal bersama mak dan anak-anak di Ipoh,” ujarnya.

Nasihat buat Waheeda dan Akhil

Dalam kenyataan sebelum ini, Maiza ada memberitahu yang suaminya pernah meminta izin untuk berkahwin buat kali kedua dan wanita yang dimaksudkan adalah penyanyi Waheeda atau nama sebenarnya, Norwahidah Abdul Wahab, 31.

Ditanya tidakkah Maiza hendak memberikan apa-apa nasihat buat Waheeda dan Ustaz Akhil, dia berkata:

“Pertama sekali, saya nak nasihatkan jika dia benar-benar menjadi seorang isteri, jadilah seorang isteri yang solehah dan jagalah hati semua orang.

“Janganlah kita ungkit perkara-perkara yang telah berlaku dan menuding jari antara satu sama lain.

“Saya doakan semoga mereka berbahagia.

“Bagi ustaz pula, semoga apa yang dilakukannya adalah yang terbaik dan saya harap dia tidak akan mengabaikan anak-anak.

“Perpisahan itu tidak bermakna bermusuhan dan itu adalah untuk kebaikan semua pihak. Lebih baik kita berpisah secara baik dan bukannya dengan bermusuh-musuhan. Itu yang saya hendak sebenarnya.”

Tambah Maiza, “Janganlah kita anggap perpisahan itu sebagai sesuatu yang memeritkan dan bermusuhan. Saya bukannya orang yang seperti itu.

“Bagi saya, perpisahan itu untuk mencari kebaikan. Saya harap pihak sana tidak rasa marah tentang apa yang saya luahkan.

“Saya tiada niat langsung untuk memburukkan mereka,” ujarnya beberapa kali.

Maiza juga mengaku yang dia masih dapat menerima pasangan ini sebagai kawan seandainya mereka bernikah sekalipun.

“Saya tiada masalah..,” ujarnya ringkas.

Rahsia kurus cara Bienda

Thursday, May 21, 2009

Bienda tampil dengan album solo keduanya, Kenaliku yang diterbitkan oleh syarikat rakamannya sendiri, Impiana Entertainment - foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

BEKAS pesakit jantung berlubang, penyanyi Nur Razlinda Razli atau lebih dikenali sebagai Bienda kini semakin bersemangat menikmati kehidupannya selepas menjalani pembedahan pada tahun lalu dan sekarang disahkan pulih sepenuhnya.

Malah berat badannya yang sebelum ini pernah mencecah 56 kg akibat selera makan bertambah selepas pembedahan kini telah menurun kepada 49 kg semakin menceriakan hidupnya dan membuatnya yakin untuk berhadapan dengan publik.

Jelas Bienda,24, dia menjadi kurus selepas menggunakan produk pati halia dan kapsul krim malam keluaran Dunia Herbs sejak Februari lalu.

“Selepas menjalani pembedahan, badan saya berisi. Jadi, sejak itu saya cuba fikirkan cara untuk kuruskan badan kerana artis mesti nak cantik badan juga.

“Apabila mengetahui tentang produk pati halia dan kapsul krim malam, saya mengamalkan makan dan menyapu krim serta membuat ‘work out’. Dalam masa tiga bulan sahaja, saya mengalami penurunan berat badan dengan cepat,” kata Bienda ketika majlis pelancaran albumnya, Kenaliku dan produk keluaran Dunia Herbs.

Bermula 1 April lalu, Bienda dilantik menjadi duta Dunia Herbs bagi mempromosikan produk losyen tangan dan badan serta krim muka.

“Saya menggunakan produk Dunia Herbs terlebih dahulu sebelum bergelar duta. Jadi, mereka memilih saya sebagai duta selepas melihat perubahan dan kesan yang baik kepada diri saya.

“Misalnya, produk terbaru ini saya cuba terlebih dahulu. Selepas pembedahan, kulit saya mengalami alahan kepada losyen. Jadi, selepas saya mencuba losyen keluaran Dunia Herbs setiap hari, kulit saya yang kering menggelupas dan menjadi lembut.

“Jika nak tahu, dua produk ini keluar pun atas permintaan saya,” ujar Bienda.

Bienda yang bijak berkata-kata itu akan mengikat kontrak selama setahun. Bagaimanapun, dia enggan menyebut harga yang ditawarkan kepadanya untuk bergelar duta produk itu.

“Pasal harga yang dibayar kepada saya, tidak perlulah disebut tetapi ia berbaloi,” jawabnya.

Hasil album baru selepas enam tahun

Bienda turut dilantik menjadi duta Dunia Herbs bagi mempromosikan produk losyen tangan dan badan serta krim muka - foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

Setelah hampir enam tahun tanpa album baru, Bienda tampil dengan album solo keduanya, Kenaliku yang diterbitkan oleh syarikat rakamannya sendiri, Impiana Entertainment.

Album yang memuatkan empat buah lagu baru dan empat buah lagu lama yang turut dipetik dari album artis lain itu, bukanlah album tangkap muat seperti yang diakui oleh Bienda.

“Album ini bukan dibuat untuk cukup syarat tetapi lahir dari hati saya.

“Saya mendapat ilham untuk menyiapkan album ini selepas menjalani pembedahan.

“Sebelum itu, saya selalu mengalami masalah untuk mendapatkan keserasian dari segi album dan konsep.

“Jadi, berkat saya menyimpan duit selepas menyanyi dan berlakon, barulah saya dapat sempurnakan impian ini dengan menggumpul modal sebanyak RM40,000 dalam masa enam bulan,” tutur Bienda.

Dia menambah, lagu-lagu yang diterbitkan oleh produser dan penyanyi Yasin Sulaiman ini telah dirakam sejak tiga tahun lalu tetapi disusun semula agar mendapat kombinasi vokal dan muzik yang diinginkan.

“Menerusi album ini, saya mahu peminat mengenali bagaimana saya bersusah payah.

“Empat buah lagu baru dalam album ini adalah lagu Usah Kau Tanya hasil duet dengan mama (Sheeda), Jiwa Sengsara (Yasin), Kenaliku dan Fatamorgana.

“Sementara empat lagu lama adalah Syurga Neraka duet dengan Amy Search, Youm Wara Youm yang dinyanyikan dengan Akbar, Mimpi Laila dan Penantian.

“Lapan buah lagu ini menjadi pilihan saya kerana semuanya merupakan lagu terbaik dan kesukaan saya.

“Saya menganggap album ini sebagai hadiah istimewa untuk peminat dan orang yang disayangi untuk mengenal jiwa saya.

“Saya harap album ini akan sampai kepada peminat dan dihargai oleh mereka,” luahnya yang tidak meletakkan sasaran jualan album itu.

Akur dengan pasaran album tempatan yang kurang memberangsangkan, Bienda berkata dia akan menjual album ini dari tangan ke tangan semasa bertemu peminat di mana-mana ‘show’.

“Insya-Allah, saya akan turun padang untuk menjual album secara langsung kepada peminat dan jika ada yang berminat untuk mendapatkannya, boleh juga emelkan ke bienda_85@yahoo.com. Saya menawarkan harga yang lebih murah kepada mereka,” akhiri Bienda.

Bercerita mengenai perancangan selepas ini, Bienda akan berlakon sebuah filem dan drama mulai bulan hadapan.


sumber:mstar

Bukan ana pegang si Wawa - Akhil turut jawab isu rambut rebonding dan gelaran ustaz

Wednesday, May 20, 2009

"DON'T wake up the sleeping dog," pesan Akhil Hayy, 40, ketika ditanya perihal kontroversinya yang tidak pernah surut. Sememangnya penyanyi rock yang kemudian bergelar ustaz ini tidak habis-habis dikaitkan dengan penyanyi irama padang pasir, Waheeda, 31.

Mula-mula dikatakan bernikah secara senyap-senyap, kemudian menonton wayang pada tengah malam dan minggu ini, kecoh pula tentang gambar santai di tepi pantai.

Ia dikatakan gambar-gambar Akhil melepak dengan Waheeda di atas pasir bersama beberapa orang lagi yang wajah mereka telah dikaburkan.

Kononnya, mereka pergi makan ikan bakar di Port Dickson setelah habis penggambaran. Seorang lagi wanita dalam gambar itu didakwa seorang pelakon yang pernah hangat dengan aksi seperti seorang lesbian.

Bagaimanapun, Akhil yang dihubungi Sensasi Bintang semalam enggan memberi komen. Seperti biasa, dia tidak mahu mengiya ataupun menidakkannya.

"No komen, no komen. Ana (saya) tidak mahu cakap apa-apa. Cuma ana boleh katakan bahawa gambar itu diambil untuk adegan-adegan lakonan.

"Kalau ana cakap lebih-lebih orang boleh menyampah dengan ana," ujarnya yang menganggap gosip dirinya dan Waheeda yang tidak pernah selesai merupakan ujian paling besar dalam hidupnya.

"Dengan kecanggihan dunia Internet, orang boleh buat apa sahaja. Mereka bebas menyiarkan gambar. Bukan industri seni sahaja tetapi semua termasuk politik," ujarnya.

Akhil menambah: "Ana tidak faham, kenapa orang mahu kecoh-kecoh. Bukan ana pegang si Wawa (panggilan Waheeda) pun dalam gambar tu. Lepas itu mereka kaburkan gambar dua orang lagi. Kenapa?," Akhil bertanya kembali.

Sampai bila agaknya orang akan terus bercerita, tanya saya. "Jawapan bagi persoalan ini (hubungan dengan Waheeda) tidak ada. Jadi jangan direka-reka.

"Ini semua dugaan bagi ana. Ana terima," terang Akhil lagi yang menyatakan dia tidak rimas dengan pertanyaan umum. Baginya, selagi orang bertanya maka selagi itulah orang mengambil tahu akan dirinya.

"Agaknya kalau ana hanya berdakwah di dalam masjid dan surau, sudah tentu tiada cerita kontroversi ana. Tiada ada orang mahu fitnah itu dan ini," kesalnya yang memang telah masak dengan lumrah hidup selebriti.

"Ana mahu orang lebih ambil tahu akan dakwah dan karier ana. Ana takut orang menyampah pula dengan ana disebabkan kontroversi demi kontroversi," kata Akhil lagi.

Selain heboh cerita dia dengan Waheeda, ada juga yang mempertikaikan rambut lurus ala rebonding Akhil. Ketawa sahaja Akhil mendengarnya.

"Dulu rambut ana panjang, orang bercakap juga. Kalau nak tahu, rambut asal ana adalah kerinting. Jadi ana luruskan agar senang diurus. Ikut sunah Nabi, ana potong hingga ke paras bahu. "

Akhil yang dipanggil Ustaz Rock ini mahu khalayak lebih menumpukan kepada rancangan Cafe Akhil Hayy yang ditayangkan pada setiap Rabu pukul 7.30 malam di Astro Oasis.

Imbasnya, gelaran ustaz itu sudah diberikan sejak tahun 1986 tanpa pintanya. Itu jawapan bagi yang mempertikaikan bagaimana dia boleh dipanggil ustaz.

Gelaran itu, katanya, sudah sinonim dengan dirinya dan dia menerima dengan hati yang terbuka.

Sebelum mengakhiri perbualan telefon, Akhil menyeru agar umum tidak menghukum dirinya.

"Cukuplah dengan mengkritik, bukan menghukum kerana yang boleh menghukum hanya Allah. Bila ada bukti jelas, nyata dan terang maka barulah mereka (masyarakat) boleh bersuara dan menghukum."

Perancangannya kini selain berdakwah melalui televisyen, Akhil dalam rangka menyiapkan album yang terkandung lapan buah lagu-lagu ketuhanan. "Semuanya sedang berjalan lancar," katanya.


sumber : Kosmo.

Syurga Cinta



DIAWAL pembikinan filem Syurga Cinta terbitan Metrowealth Production Sdn. Bhd. (MIG), yang berunsur islamik banyak tentangan dan kekangan yang terpaksa dihadapi.

Bukan sahaja dikatakan meniru karya daripada pembikin filem Indonesia menerusi filem Ayat-Ayat Cinta dan Kiamat Sudah Dekat tetapi mendapatkan kritikan hebat apabila foto kontroversi pelakon utamanya Awal Ashaari mengenakan subang sambil memakai jubah dan serban disiarkan di akhbar ketika penggambaran filem ini berlangsung.

Namun, semua itu bukan halangan buat produksi yang dikepalai oleh pengarah Ahmad Idham, malah semua cerita-cerita panas dianggap sebagai satu cabaran buat dirinya untuk mengekalkan reputasi sebagai pengarah berkaliber.

Menurut Idham yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem Syurga Cinta lakonan Awal, Heliza Helmi (Heliza) dan Muhamad Hadziq Hazem (Haziq), Fizz Fairuz dan Shaheizy Sam di TGV Mines Shopping Fair, Seri Kembangan baru-baru ini segala publisiti yang diberikan baik negatif mahupun positif, amat membantu melariskan filem ini.

"Saya tidak kisah, walaupun mendapat tentangan hebat tetapi saya mempunyai alasan untuk berbuat demikian terhadap watak dalam filem arahan saya.
Malah, saya kupas balik isu kontroversi itu dalam filem. Selepas penonton menonton filem ini baru mereka memahami kenapa saya berbuat demikian.

"Kalau nak ikutkan sekarang ini memang bersepah orang lelaki memakai subang dan itu realiti yang ingin ditampilkan," tuturnya.

Jelasnya lagi, meskipun banyak pihak cuba membuat perbandingan antara filemnya dan beberapa filem berunsur islamik yang lain, Idham dengan tenang mengatakan filemnya terlalu berbeza untuk disamakan dengan filem-filem tersebut.

"Memang judul ceritanya nampak berat tetapi sebenarnya ia sebuah komedi ringan untuk seisi keluarga tetapi mempunyai mesej yang cukup berguna.

"Saya tahu kalau saya sampaikan secara berat pasti tiada siapa yang nak tengok filem ini, tetapi sepanjang filem ini orang ketawa sahaja.

"Ini bermakna ia sebuah filem yang sangat ringan, saya harap penonton tidak akan terbeban dengan mesej dan judulnya, saya berharap mereka menonton sambil berhibur," luahnya.

Tambah Idham lagi, pada mulanya amat sukar buat dirinya untuk memilih pelakon perempuan bagi memegang watak Syuhadah kerana ingin mencari pelakon yang bukan hanya memakai tudung di dalam filem tetapi juga dalam kehidupan realiti kerana skripnya dicampurkan dengan hadis dan Al-Quran.

Reaksi Waheeda



TIDAK habis-habis lagi orang memperkatakan tentang hubungan sebenar penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Ustaz Akhil Hayy dengan penyanyi popular, Waheeda.

Setelah membuat ‘gimik’ mereka sememangnya telah berkahwin yang mana sebenarnya ia hanya ‘lakonan’ di dalam program Cafe Akhil Hayy musim terbaru, kini kecoh pula isu gambar Waheeda dan Akhil yang sedang ‘bercanda’ di sebuah pantai bersama dua kenalan mereka, termasuklah pelakon baru, Ramona dan seorang lelaki, yang sedang tersebar luas di internet. om

Beberapa keping gambar tersebut memaparkan rakaman aksi mereka di tepi pantai pada waktu malam. Malah, aksi ‘gembira’ Waheeda dan Akhil dalam gambar-gambar tersebut telah membuatkan ramai beranggapan bahawa mereka sebenarnya memang mempunyai hubungan ‘istimewa’, tetapi masih ingin terus berahsia.

Ketika dihubungi, Waheeda hanya ketawa kecil sebaik diminta mengulas tentang isu gambar-gambar tersebut.

Dalam nada tenang, penyanyi yang melonjak namanya dengan lagu Wassini ini sudah dapat mengagak hal ini pasti akan menjadi ‘bualan’ ramai.

“Memang saya dan Akhil pernah ke pantai Port Dickson bersama-sama. Kami sebenarnya pergi beramai-ramai. Dan gambar-gambar itu diletakkan oleh Ramona di dalam laman web Facebook.
www.ohartis.com
“Memang pada awalnya dia ada bertanyakan pada saya sama ada saya ‘ok’ atau tidak jika dia letakkan di dalam Facebook.

“Saya memang tiada masalah, malah Akhil juga tidak kisah. Salahkah saya keluar dengan Akhil dan rakan-rakan yang lain? Saya tak faham mengapa benda ini dibesar-besarkan sedangkan banyak hal lain di luar sana yang boleh dijadikan isu.

“Tetapi saya sudah malas nak ambil pusing dengan hal-hal seperti ini. Selagi saya tahu batasnya, itu sudah memadai. Terpulanglah kepada khalayak untuk buat persepsi sendiri,” kata Waheeda ketika dihubungi.

Menurut Waheeda, gambar itu dirakamkan beberapa bulan lalu ketika dia, Akhil dan beberapa rakan pergi ke Port Dickson untuk menikmati juadah ikan bakar di sebuah restoran di sana.

“Saya baru habis ’shooting’ sebuah program ketika itu dan kemudiannya saya, Ramona dan dua orang lagi rakan teringin makan ikan bakar. Kami ajak Akhil sekali sebab memang rakan-rakan saya termasuklah Ramona juga sudah mengenali Akhil.

“Lagipun memang saya akui, Akhil dan saya berkawan baik. Dia mengenali rakan-rakan saya dan saya juga kenal beberapa orang rakannya. Jadi kami beramai-ramai pergi ke PD pada malam itu juga,” tuturnya.

Jelas Waheeda lagi, walaupun pelbagai tohmahan dan pandangan negatif akan dilemparkan terhadap dirinya dan penceramah yang sudah berumahtangga itu, dia tidak mahu terlalu memikirkan tentang hal tersebut, asalkan keluarga masing-masing tahu perkara yang sebenarnya. www.ohartis.com

“Orang memang tidak pernah berhenti bercakap tentang kami. Terpulanglah kepada mereka. Mungkin mereka tidak ada kerja lain nak buat dan sebab itu mereka ada banyak masa untuk berbincang tentang hal kami ini di internet.

“Lagi banyak orang bercakap tentang kami, lagi kami tidak kisah untuk bertemu secara terbuka di depan orang. Bukannya kami buat benda-benda yang tidak elok di luar,” katanya yang kini sedang menghabiskan rakaman program Cafe Akhil Hayy yang telah mula bersiaran di Astro Oasis, setiap Rabu, pada pukul 7.30 malam.

sumber: Oh Artis